Tuesday, November 4, 2008
Undang-Undang Pemangkin
FASAL 1 NAMA
(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Graduan
Kinabatangan (PEMANGKIN),Sabah. Selepas ini disebut
“ Persatuan”.
FASAL 2 TEMPAT URUSAN
Alamat dan tempat urusan Persatuan ialah Kg. Berjaya II,Batu 6,Jalan Bukit
Garam , WDT 196, 90200 Kota Kinabatangan, Sandakan, Sabah atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa kesemasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah W.D.T 196, 90200 Kota Kinabatangan, Sabah.Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA
1) Huraian Rekabentuk Logo
Logo Persatuan adalah berbentuk perisai dan berlatarbelakangkan warna Merah. Didalamnya terdapat bulatan dengan motto Persatuan ‘ Berilmu, Bersama, Berbakti dan di bawahnya tertera nama ringkas Persatuan iaitu PEMANGKIN DENGAN BERLATARBELAKANGKAN WARNA PUTIH. Di tengah-tengah bulatan terdapat sebuah buku di atas rehal yang berwarna kuning. Terdapat huruf S yang berwarna biru sebagai lambang bentuk sungai.
2) Maksud warna Logo
Warna merah melambangkan keberanian dan kegigihan untuk berdaya saing di dalam persekitaran yang mencabar. Warna kuning mencerminkan bakti atau sumbangan. Warna biru menggambarkan keharmonian, kestabilan dan perpaduan. Warna putih bermaksud keikhlasan.
3) Motto
Motto Persatuan ini ialah “ Berilmu, Bersama, Berbakti”
FASAL 4 TUJUAN/MATLAMAT
1) Menyatupadukan para graduan di daerah Kinabatangan, Sabah.
2) Memberi motivasi dan khidmat nasihat kepada para pelajar di daerah Kinabatangan, Sabah.
3) Mengumpul idea dan kepakaran para graduan bagi membantu merangka perancangan dan strategi pembangunan bagi daerah Kinabatangan dari aspek pendidikan, ekonomi, pelancongan dan pentadbiran.
FASAL 5 KEAHLIAN
(1) Keahlian Persatuan ini adalah terbuka kepada para graduan berwarganegara Malaysia yang berasal dari daerah Kinabatangan, Sabah atau graduan yang bukan berasal dari daerah Kinabatangan, Sabah tetapi merupakan suami atau isteri kepada ahli Persatuan ini.
(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran tahun pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.
(4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
FASAL 6 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
Bayaran masuk : RM20.00 ( Dua puluh Ringgit Sahaja)
Yuran tahunan: RM 15.00 ( Limabelas Ringgit Sahaja)
(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh 15 hari dari awal tiap-tiap bulan.
(3) Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh atau wakil Setiausaha dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.
(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.
(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.
(6) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.
FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan, hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutang serta mengembalikan harta benda hak milik persatuan.
(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungannya itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 8 MESYUARAT AGUNG
(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa , mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh tidak lebih daripada 30 hari yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Jika korum juga tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang Persatuan dan membuat keputusan yang melibatkan semua ahli.
(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah:
(a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan persatuan di dalam tahun lalu;
(b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
(c) Memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tahun yang akan datang; dan
(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada ahli-ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.
(5) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:
(a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa atau
(b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.
(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.
(8) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini. Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 9 JAWATANKUASA
(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:
Seorang Yang Dipertua
Seorang Naib Yang Dipertua
Seorang Setiausaha
Seorang Bendahari
8 orang Ahli Jawatankuasa Biasa
(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia.
(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.
(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan denan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa.
(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.
Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling
hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat
Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam
peringatan mesyuarat.
(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklan dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan yang cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.
(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.
FASAL 10 KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI
(1) Yang Dipertua, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.
(2) Naib Yang Dipertua hendaklah membantu Yang Dipertua menjalankan tugas dan memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaan Yang Dipertua.
(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, no kad pengenalan, keturunan, pekerjaan,nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan ,1966.
(4) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha.
(5) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
FASAL 11 KEWANGAN
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan persatuan, termasuklah belanja pertadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun,wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 ( Lima Ratus Ringgit Sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.
(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.
(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM500.00 (Lima Ratus Ringgit Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM1000.00 ( Satu Ribu Ringgit Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 500.00 ( Lima Ratus Ringgit Sahaja) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama Setiausaha dan Bendahari.
(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.
(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA
(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.
(2) Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka boleh dikehendaki bila-bila masa oleh Yang DiPertua memeriksa kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
FASAL 13 PENGAMANAH
(1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah ( Deed of Trust)
(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Persatuan.
(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung.
FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
(1) Di antara berlangsungnya mensyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan diubah oleh keputusan mesyuarat agung.
FASAL 15 PENASIHAT/PENAUNG
Jawatankuasa boleh jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak
menjadi Penasihat/ Penaung bagi persatuan ini dengan syarat orang yang
dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
FASAL 16 LARANGAN
(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan; Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangakai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;
(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;
(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;
(4) “ Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pesatuan kepada mana-mana ahlinya.
FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 18 PEMBUBARAN
(1) Persatuan boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) jumlah semua ahli yang berhak mengundi yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.
(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam mesyuarat Agung tersebut.
(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.
Friday, October 31, 2008
Logo Pemangkin
Tuesday, October 28, 2008
Apa Khabar Pemangkin???

Lama tak dengar cerita dan aktiviti Pemangkin...
Apa perkembangan, perancangan dan matlamat Pemangkin di tahun 2009???
Semua itu menjadi tanda tanya yang masih tidak terjawab lagi..Saya ada cuba menghubungi YDP Pemangkin, Encik Hamra tapi tiada respon dan jawapan dari beliau..Saya ada merancang untuk membuat aktiviti dan perencanaan untuk tahun 2009...Tapi saya perlu mendapat persetujuan daripada beliau terlebih dahulu...Nanti dicakap langkah bendul pulak..Kita kena patuh kepada ketua dan perlu beradab di dalam gerakan jemaah unutuk memastikan perjuangan kita diberkati oleh Allah S.W.T.
Insya Allah, saya akan cuba menghubungi beliau lagi untuk kebaikan Pemangkin dan kelangsungannya di masa depan...
Inilah perjuangan....Penuh ranjau dan cabaran
Sunday, September 28, 2008
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H


Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga dan ahli Pemangkin...Maaf Zahir dan Batin. Semoga kedatangan Syawal yang mulia ini lebih mendekatkan kita kepada-Nya..Selamat beraya, sambutlah dengan kesederhanaan tapi dalam suasana yang gembira dan meriah di samping keluarga yang tercinta..


Jangan lupa puasa 6 Syawal.....
Wednesday, September 17, 2008
Nuzul Quran - 17 Ramadhan



Hari Nuzul Quran adalah merupakan hari memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran) kepada Nabi Muhamad S.A.W. pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira pada malam Jumaat pertepatan pada tanggal 17 Ramadhan iaitu tahun ke 41 hari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610M.
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Sejarah al-Quran:
Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.
Erti Nuzul al-Quran:
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Kehebatan al-Quran:
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamumerasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalahsatu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu,selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).
5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakankepada Nabi saw.
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secaramenyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dankeunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas danmendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)
8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanyaPeringatan:
Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).
Tuesday, September 16, 2008
Selamat Hari Lahir Ke-45 Malaysiaku
Hari ini dalam sejarah....
Pada tarikh keramat ini, 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura berganding bahu bersama membentuk persekutuan yang baru yang dinamakan Malaysia..
Berikut adalah antara berita pada tarikh yang bersejarah itu :
Pada hari ini dalam tahun 1963, DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah menandatangani pengisytiharan penetapan Hari Malaysia iaitu pada 16 September 1963. Penetapan tarikh ini telah diputuskan oleh kerajaan Persekutuan berdasarkan beberapa perkara:
1. Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant telah menyatakan bahawa ia menduga akan menyelesaikan tugas-tugasnya di Borneo menjelang 4 September 1963.
2. Tarikh baru 16 September ini juga telah dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan British, Singapura, Sabah dan Sarawak.
3. Kerajaan Persekutuan tidak sekali-kali bertindak melanggar kata sepakat persetujuan Manila dengan penetapan tarikh baru itu.
4. Peninjauan Bangsa-bangsa Bersatu di Borneo sekarang bukan menjadi syarat yang menentukan sama ada Malaysia akan wujud atau tidak. Kerajaan Persekutuan yakin rakyat Borneo mendukung Malaysia.
Kerajaan Indonesia dan Filipina telah diberitahu mengenai penetapan tarikh baru Hari Malaysia ini. Surat-surat pemberitahuan itu telah disampaikan melalui Duta Besar masing-masing di Kuala Lumpur. Tindakan ini telah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak melanggar Persetujuan Manila ataupun mungkir janji. Ini adalah kerana Kerajaan Malaysia sekarang hanya mengisytiharkan tarikh Hari Malaysia, sedangkan Malaysia sebenar hanya akan wujud pada tarikh yang ditetapkan, setelah rundingan-rundingan dengan Kerajaan British dan Kerajaan-kerajaan Wilayah yang berkenaan diadakan.
Kerajaan Persekutuan telahpun menyatakan pada Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia tentang tujuannya untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963 sebagaimana yang telah dipersetujui di London pada 9 Julai 1963. Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia telah mengumumkan di dalam Persetujuan Manila bahawa mereka akan menyambut baik penubuhan Malaysia itu dengan syarat sokongan rakyat di Wilayah Borneo ditentukan oleh satu badan yang bebas.
Kerajaan Persekutuan begitu yakin bahawa sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka melalui Malaysia dan percaya bahawa hasil siasatan Bangsa-bangsa Bersatu akan memberikan pendapat yang sama. Inilah faktor-faktor yang menyebabkan Hari Malaysia ditetapkan pada 16 September 1963
Berita Harian, 30 Ogos 1963, hal. 1
Sebagai rakyat di negara yang bertuah ini, kita semestinya berbangga dan bersyukur di atas apa yang kita nikmati sekarang...Semoga masa depan Malaysia tercinta ini dapat sama-sama kita perjuangkan dan berkorban untuk kelangsungan generasi mendatang...
Selamat Hari Malaysia ke 45...Selamat Hari Lahir untukmu, Tanah Leluhurku......
Tidak lupa Selamat Hari Keputeraan kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Negeri Sabah...Hidup Sabah!!!
Monday, September 15, 2008
Selamat Berpuasa - Ramadhan 1429H

Hari ini, dah masuk hari ke-15 kita berpuasa..dah separuh perjalanan ibadat ke-3 Islam ini kita kerjakan..Apapun, lakukanlah dengan ikhlas, sabar dan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT..
Walaupun dah terlewat, saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli Pemangkin khasnya dan seluruh umat Islam amnya...Inilah masa untuk kita kembali kepada fitrah dan ikhlas dalam melakukan kerja agama dan mengamalkan segala ilmu yang kita ada agar dapat dimanfaatkan kepada semua...
Selamat datang Ramadhan 1429H...


