Thursday, July 24, 2008

Ucapan Pengerusi Penaja


MESYUARAT AGUNG KHAS PEMANGKIN

9 Disember 2006, Sabtu

Bilik Mesyuarat Utama,

Majlis Daerah Kinabatangan.

Selamat datang ke Majlis Mesyuarat Agung Khas Persatuan Graduan Kinabatangan atau lebih dikenali sebagai PEMANGKIN bagi tahun 2006. Tujuan mesyuarat agung khas ini diadakan adalah bertujuan untuk membuat pemilihan bagi AJK tertinggi bagi sesi 2007-2009 iaitu selama 3 tahun bagi setiap penggal.

Saya sebagai Pengerusi Penaja Pemangkin, ingin menukilkan beberapa gagasan dan harapan terhadap AJK tertinggi Pemangkin yang bakal dibentuk kelak;

  1. Moga Pemangkin menjadi NGO yang dapat memberikan sumbangan dan khidmat terbaik kepada Kinabatangan. NGO yang hidup berjuang untuk menentukan yang baik dan salah, menegakkan kebenaran, tanpa ada sempadan fahaman, merentasi batasan politik dan kebebasan yang sepenuhnya untuk bergerak dengan cara dan halatuju yang ditetapkan dalam visi dan misi pemangkin itu sendiri.

  1. Pemangkin adalah amanah sebenarnya kepada kita semua. Maka peganglah amanah ini dengan sebaiknya dan kita mohon doa kepada Allah agar membantu kita dalam memimpin Pemangkin ini. Amanah adalah yang paling berat sekali di dunia dan hanya manusia dianugerahkan tugasan tersebut. Itulah antara 6 persoalan kehidupan yang diceritakan oleh tokoh terbilang dan cendiakawan, iaitu Hujjatul Islam atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali r.a.

  1. Program atau aktiviti perlu dibuat dan konsisten serta istiqamah yakni berterusan. Bukan sekejap ada, sekejap tak ada. Ini kerana bayank pertubuhan atau persatuan di Kinabatangan ini yang saya sifatkan sebagai mati atau tunggu masa sahaja untuk mati. Jadi saya tidak ingin melihat Pemangkin jadi seperti itu. Mati tanpa batu nisan!!! Kita perlu mewujudkan aktiviti dan pengisian yang luar biasa yang boleh merubah sejarah membeku di Kinabatangan ini, pada pendapat saya. Jadi kita memerlukan jentera barisan graduan yang berkualiti untuk merubah sejarah membeku ini, kerana hanya graduan atau belia-beliawanis yang mempunyai kesungguhan untuk berjuang sahaja dapat dapat merealisaikan impian murni ini. Saya teringat kata-kata Professor Dr. Hamka, iaitu “Kepemudaan itu gila, dan hanya mereka yang dapat untuk merubah sejarah yang membeku. Sejarah akan membeku dan hanya dapat dipecahkan oleh gerakan kepemudaan melalui revolusi. Setelah itu, barulah proses pemikiran akal akan mengambilalih revolusi tersebut.”

  1. Pemimpin yang bakal dipilih nanti mestilah tidak ada kepentingan peribadi. Mereka hendaklah berjuang dengan ikhlas dengan khidmat yang terbaik untuk mendapat semua pihak di Kinabatangan tercinta ini. Mereka juga sanggup berkorban untuk kemajuan dan kelangsungan Pemangkin seterusnya.

  1. Dan inilah harapan kepada pemimpin-pemimpin Kinabatangan. Saya membawa isu atau persoalan di mana ramai lagi para graduan di Kinabatangan ini yang masih tidak bekerja dan menganggur walaupun mereka memiliki pencapaian akademik yang cemerlang. Mereka punya pengalaman yang banyak dan berguna semasa menuntut di Universiti-Universiti dan Kolej-kolej Swasta. Jadi rugi rasanya jikalau semua apa yang ada pada mereka ini kita tidak gunakan atau eksplotasi dan manfaatkan kepada semua. Jadi, berilah mereka ruang dan peluang untuk mereka membuktikan bahawa graduan-graduan yang dilahirkan oleh Kinabatangan adalah yang terbaik di antara yang terbaik. Saya mengetahui ramai graduan yang mendapat peluang bekerja di tempat lain seperti di luar Kinabatangan dan Semenanjung Malaysia, tetapi mereka menolak kerana masih ingin mencari peluang dan ruang untuk berbakti di Kinabatangan. Mereka berkata, “ Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Saya memuji kesabaran dan kesungguhan mereka, juga perjuangan mereka untuk sama-sama membangunkan daerah kita yang tercinta ini…

Seterusnya, saya ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang halangan dan rintangan semasa menubuhkan Pemangkin. Terlalu banyak sebenarnya untuk diceritakan di sini. Dari saat pengumpulan ahli, pembentukan AJK penaja, penolakan pendaftaran sehinggalah penubuhannya dan seterusnya hingga ke saat ini. Masalah kewangan merupakan ibu masalah kepada halangan dan rintangan. Saya ingin memohon jasa baik kepada pemimpin-peminpin Kinabatangan yang hadir pada hari ini, untuk memberikan respons dan tindakan juga bantuan kepada Pemangkin di masa depan.

Tetapi Alhamdulillah, berkat usaha, kerajinan, konsisten dalam komitmen dan istiqamahnya AJK penaja Pemangkin, lahirlah Pemangkin yang saya sifatkan sebagai kelahiran pejuang baru di Kinabatangan ini. Juga boleh digelar sebagai mujahid ataupun pembaharuan kepada Kinabatangan.

Teringat saya kepada satu konsep sosial Islam,” Tidak dianggap bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK penaja Pemangkin , yang setia berjuang bersama-sama dengan saya. Terima kasih atas segalanya. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada anda semua jikalau ada terkasar bahasa, terlajak kata dan buruk budi bicara sepanjang anda berada di bawah pimpinan saya dan saya yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa-apa juga yang berlaku sepanjang kita bersama-sama menubuhkan Pemangkin ini.

Dan terima kasih kepada semua yang menyokong dan memberikan idea, sumbangan dan kepakaran kepada Pemangkin. Hanya Allah S.W.T yang dapat membalas jasa baik kalian.

Akhir kata, saya ingin memohon maaf jikalau ada kekurangan atau kecacatan pada majlis yang serba sederhana ini.

Biar merangkak asal dapat,

Jangan berlari tapi putus di tengah jalan.


Penuh cabaran, penuh halangan dan beban perjuangan,

Subur berakar di dasar hati, segar mekar di denyut nadi.


Wahai Pemangkin, tegakkan perjuanganmu,

Tataplah hari esok dan selamanya dengan ceria,

Ingatlah di sebalik kesukaran itu, pasti akan datang kemudahan.


Setiap yang bermula, pasti akan berakhir,

Tidak penting di mana kita bermula, yang penting di mana kita berakhir.


Selamat berjuang Pemangkin......


WASSALAM



SUHIRMAN@MOHD.SUKRI

Pengerusi Penaja,

Pemangkin Sesi 2004-2006.

No comments: