Thursday, July 24, 2008

Terus Berjuang.....


Coretan ini masih lagi di bawah topik "Selamat Berjuang Mahasiswa/i Kinabatangan..." Walaubagaimanapun, saya tidak akan menyentuh secara khusus mengenai Mahasiswa/i kerana saya telah memberi komen sebelum ini. saya tertunggu-tunggu daripada Syuk/Sbal jika ada post yang terbaru. Saya faham, Syuk/Sbal mungkin sibuk dengan tugas hariannya. Oleh itu, saya menumpang blog Pemangkin ini untuk menulis apa yang perlu untuk ditulis. Kalau tak ada yang penting pun, saja seronok-seronok. Seeloknya saya perlu menulis dalam blog sendiri. Tetapi jika saya mencipta blog sendiri dengan harapan ahli lain membacanya atau melayarinya, maka ahli-ahli Pemangkin tentu akan terpecah dan ini adalah sesuatu yang tidak baik terhadap usaha kita menghimpunkan ahli-ahli. Apatah lagi sekiranya ahli-ahli lain juga akan mencipta blog masing-masing bagi menyampaikan pandangan mengenai Pemangkin. Kita akan bercempera. Orang Sabah kata 'bertabur'. Dengan adanya blog Pemangkin ini, cukuplah ia menjadi platform yang tunggal dan jangan ada lagi blog Pemangkin yang lain. Kepada semua rakan-rakan marilah kita berpayung di bawah satu landasan untuk menyampaikn wadah pemikiran kita iaitu melalui blog Pemangkin ini.

Setelah lebih kurang 3 bulan iaitu semenjak saya mengetahui blog ini, nampaknya setakat ini, hanya saya sahaja yang menghantar komen atau post comment. Ini menandakan ramai ahli Pemangkin atau bekas pelajar Kinabatangan yang belum tahu mengenai kehadiran blog ini. Apa pun saya ucap tahniah kepada Saudari Rohai kerana melayari blog ini dengan komen ringkasnya.

Saya rasa sedih kerana Saudara Suhirman atau Sbal telah mengusahakan blog ini dengan baik dan ikhlas. Maka, menjadi kerugian sekiranya blog ini sepi tanpa penghuni. Atas kesedaran ini saya telah menghubungi rakan saya Nordin Ibrahim yang kini bertugas di Sandakan. Tujuan saya menghubunginya adalah untuk mendapatkan nombor contact beberapa rakan-rakan yang telah lama tidak dihubungi. Saya juga memaklumkan kepadanya mengenai blog ini. Al-hamdulillah, hasil daripada itu, saya dapat bercakap dengan saudara Samsul Bahri Mohd. Nasir yang kini di UMS kampus Labuan dan saudara Budianto yang kini di UMS kampus KK. sekurang-kurangnya dapatlah mendengar suara dan khabar berita setelah masing-masing berpecah ketika memasuki Universiti awal 2000 dulu. Ketika saya bercakap dengan saudara Budi (yang budiman itu), dia sedang bergelut dengan selsema. Kasihan dia. Mudah-mudahan dia dapat sembuh dengan cepat. Saudara Samsul pula tengah pening dengan beberapa tugasan Masternya. Apapun, saya ucap tahniah dan syabas kerana rakan-rakan kini sudah di peringkat Master. Selain daripada mendapatkan senarai rakan-rakan, saya juga sedang mendapatkan senarai nama pelajar sabah yang menuntut di UUM. Daripada senarai nama itu, saya boleh identify pelajar-pelajar dari kinabatangan supaya mereka ini dapat dimasukkan dalam persatuan Pemangkin sekaligus mereka akan melaksanakan beberapa aktiviti apabila balik bercuti nanti.

Ingatkan rakan-rakan bahawa semasa di tingkatan enam dahulu, kita sering membaca sejarah mengenai bagaimana sastera yang disampaikan melalui akhbar-akhbar berjaya mencetuskan revolusi pemikiran rakyatnya. Malah kebangkitan nasionalisme di negara kita juga adalah kerana gagasan idea yang tersebar daripada saluran media percetakan awal. Walaupun pada masa itu, orang Melayu sukar berhimpun disebabkan penjajahan, tetapi saluran akhbar menjadi wadah penting untuk mencetuskan idea-idea nasionalis. Akhirnya kita berjaya. Saya samakan blog ini dengan kehebatan akhbar-akhbar di masa penjajahan dulu. Ini bermakna, tiada halangan bagi kita untuk bersatu mengemukakan pandangan walaupun jarak memisahkan kita semua. Jika kita mengeluarkan idea-idea dan pandangan sungguhpun bukan dalam satu korum perbincangan khas, pandangan-pandangan ini akan menyimpulkan satu rangka tindakan untuk menghasilkan apa yang diinginkan. Oleh itu, bagi saya sendiri, setiap ahli Pemangkin perlu proaktif dan memberi nafas kepada blog ini. Samalah seperti kita menghidupkan Pemangkin. Saya sendiri faham bahawa kita dibebani bermacam tugas sama ada tugas rasmi atau tugas-tugas peribadi. Tetapi marilah kita luangkan sedikit masa untuk Pemangkin. Saya juga percaya, mungkin sesetengah alasan akan mengatakan tidak ada komputer atau tiada talian internet. Itu belum menjadi masalah besar. Saya cadangkan rakan-rakan boleh hantar SMS kepada ahli yang ada komputer dan internet. Pandangan atau coretan melalui SMS akan boleh dilaporkan semula oleh penerima SMS tersebut sama ada berbentuk formal atau sekadar berita iringan kepada rakan-rakan yang ingin mengetahui cerita daripada ahli-ahli lain.

Saya dan ahli lain menunggu post terbaru dari Syuk. Kalau boleh sesuatu yang boleh dibahaskan bersama. Jumpa lagi. Askm.


Roslee Mardan

Pegawai Eksekutif
Pusat Penyelidikan NCER
Universiti Utara Malaysia.

July 17, 2008 4:38 PM


No comments: