Tuesday, June 24, 2008

Selamat Berjuang Mahasiswa/i Kinabatangan...


Kepada semua Mahasiswa/i Kinabatangan, selamat kembali ke Universiti masing-masing..Selamat berjuang kepada anda semua...Anda menjadi harapan dan tonggak kepada keluarga tercinta...Buat yang terbaik...

Manakala bagi Mahasiswa/i yang baru melangkah ke dunia Universiti, selamat datang!!! Jangan takut dan gentar..Anda semua pejuang di medan suci..Tambahlah sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman berharga untuk menjadi bekalan di masa depan...

Dan bagi yang baru lepas menamatkan pengajian, selamat datang ke alam kerjaya...Selamat datang ke dalam perjuangan Pemangkin jugak...Cipta peluang, bukan tunggu peluang...Berani untuk melakukan perubahan..Berkhidmat untuk Kinabatangan...

Selamat maju jaya kepada semua...Ikhlas selamanya....

2 comments:

Anonymous said...

Tidak ada yang terindah selain diterangi dengan cahaya ilmu. Dan bertuahlah bagi mereka yang menjejakkan kaki ke menara gading. Tidak semua akan memiliki nasib yang sama. Jika ada ianya hanya hampir-hampir sama sahaja. Kebanyakan orang biasanya menganggap peluang hanya datang sekali. Maka peluang itu harus dijadikan landasan yang dapat membawa ke arah satu penghujung kebahagiaan. Namun, sebenarnya, peluang tidak akan datang dengan sendirinya. Sebaliknya kitalah yang perlu mencari peluang. Oleh itu, sekiranya kita gagal kali pertama, tidak bermakna, peluang pertama yang datang itu telah gagal. Kita harus berusaha dan berusaha untuk mencari peluang yang seterusnya. Kejayaan ada di hadapan mata. Yang menentukannya hanyalah kemahuan serta kesungguhan mencapainya. Yang penting juga kita harus sedikit berani untuk berkorban. Kerana kejayaan pada asasnya bermula dengan sesuatu yang pahit untuk ditelan.

Sungguhpun ada di kalangan kita yang memang datang dari keluarga yang senang, tidak bermakna itu menjadi tiket kepada kesenangan selama-lamanya. Jangan lupa, kita datang dari daerah yang rata-rata masyarakatnya begitu primitif dan belum terdedah dengan dunia luar secara realiti. Terutama kepada mahasiswa bumiputera. Ini bermakna kita ada misi dan cita-cita yang perlu dilaksanakan. Orang yang gagal melaksanakan misi, adalah orang-orang yang tidak amanah di sisi agama. Inginkah kita tergolong di kalangan orang-orang yang tidak amanah?

Mahasiswa/i Kinabatangan yang memasuki IPT terdekat, janganlah ingat bahawa jarak yang dekat itu membuatkan kita lebih berasa beruntung berbanding dengan rakan-rakan yang terpaksa mengharungi lautan dan angkasa untuk sampai ke Semenanjung. Kerana seperti yang dikatakan tadi, tidak semua nasib kita akan sama. Mahasiswa/i yang belajar di IPT terdekat perlu bijak menggunakan kesempatan yang ada. Terutamanya kelebihan dari segi cuti dan kedudukan kewangan. Walaupun jarak dekat dengan keluarga, tidak bermakna asrama kita adalah di kampung. Di Universiti banyak kemudahan yang boleh diperolehi. Perpustakaan sentiasa menanti pengunjungnya. Oleh itu, peluang terbaik di Universiti perlu diambil sepenuhnya untuk mengasah jiwa dan pemikiran kita. Di Universiti, bukan setakat kita berjuang untuk mendapat segulung ijazah dan PMK tetapi yang lebih penting, kita keluar Universiti dengan pemikiran seperti seorang yang pernah belajar di Universiti. Tidak ada gunanya jika kita mendapat ijazah sekadar memberitahu kepada orang lain bahawa kita adalah graduan Universiti. Pada hari ini, semua orang boleh memasuki Universiti. Kepesatan kemajuan negara kita membolehkan pelajar memasuki bukan sahaja IPT awam tetapi juga swasta. Pada zaman dahulu, sekiranya ada pelajar yang masuk Universiti, seluruh kampung akan menjadi heboh. Tetapi sekarang, keadaan itu tidak lagi. Orang seakan sudah tidak hairan kerana sesiapa sahaja boleh memasuki Universiti. Jadi, apakah yang akan membezakan pelajar-pelajar di kalangan mahasiswa/i itu? perbezaannya ialah, samaada mereka dapat menggunakan peluang di Universiti dengan baik atau tidak. Itu sahaja.

Bagi pelajar-pelajar kita yang menuntut di Semenanjung pula, memanglah agak perit apabila berada di tempat orang. Kita jauh daripada keluarga. Satu tempat yang asing bagi kita kadang-kadang membuatkan kita tersisih daripada keadaan. Cuma, janganlah takut atau risau. Sekiranya kita datang dengan hati yang ikhlas dan sentiasa memikirkan misi kita, insyaallah, apa jua kesukaran dan keterasingan yang kita alami lambat laun akan beransur hilang. Malah, inilah peluang kita untuk membuka minda seluas-luasnya. Ingatkah dengan satu pepatah iaitu, 'jauh perjalanan, luas pengetahuan'. Maka, jadikan ini sebagai tips kehidupan di perantauan. Allah akan memberi kita panduan dan memelihara serta memberi pahala kepada setiap langkah kita yang ikhlas untuk menuntu ilmu. Sesungguhnya kehiudpan sebagai mahasiswa/i di perantauan ada cabarannya. Daripada soal keselamatan, rakan-rakan, pelajaran dan terutama sekali bab kewangan. Inilah yang paling menduga kekuatan diri kita. Maka, adalah perlu sebelum terseksa kena beringat sentiasa akan kesusahan tersebut. Pembaziran kewangan kadang-kadang mengekang kelancaran proses pembelajaran. Namun, jika seorang yang bijak dan sentiasa berhati-hati atau sabar, insyaallah tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Inilah juga pengalaman saya sewaktu menuntut di Universiti dahulu.

Banyak perkara yang boleh dibicarakan di sini. Oleh kerana keterbatasan masa dengan tugas-tugas pejabat, coretan ini samapai di sini sahaja. Kepada Syuk, minta maaf, coretan ini mungkin terlalu panjang.

Harapan kita agar, mahasiswa/i Kinabatangan membaca tulisan ini sekadar renungan bersama.

Roslee Mardan
Pegawai Eksekutif
Pusat Penyelidikan NCER
Universiti Utara Malaysia

Anonymous said...

Coretan ini masih lagi di bawah topik "selamat Berjuang Mahasiswa/i Kinabatangan..." Walaubagaimanapun saya tidak akan menyentuh secara khusus mengenai mahasiswa/i kerana saya telah memberi komen sebelum ini. saya tertunggu-tunggu daripada Syuk/Sbal jika ada post yang terbaru. Saya faham, Syuk/Sbal mungkin sibuk dengan tugas hariannya. Oleh itu, saya menumpang blog Pemangkin ini untuk menulis apa yang perlu untuk ditulis. Kalau tak ada yang penting pun, saja seronok-seronok. Seeloknya saya perlu menulis dalam blog sendiri. Tetapi jika saya mencipta blog sendiri dengan harapan ahli lain membacanya atau melayarinya, maka ahli-ahli Pemangkin tentu akan terpecah dan ini adalah sesuatu yang tidak baik terhadap usaha kita menghimpunkan ahli-ahli. Apatah lagi sekiranya ahli-ahli lain juga akan mencipta blog masing-masing bagi menyampaikan pandangan mengenai Pemangkin. Kita akan bercempera. Orang Sabah kata 'bertabur'. Dengan adanya blog Pemangkin ini, cukuplah ia menjadi platform yang tunggal dan jangan ada lagi blog Pemangkin yang lain. Kepada semua rakan-rakan marilah kita berpayung di bawah satu landasan untuk menyampaikn wadah pemikiran kita iaitu melalui blog Pemangkin ini.

Setelah lebih kurang 3 bulan iaitu semenjak saya mengetahui blog ini, nampaknya setakat ini, hanya saya sahaja yang menghantar komen atau postcoment. Ini menandakan ramai ahli Pemangkin atau bekas pelajar Kinabatangan yang belum tahu mengenai kehadiran blog ini. Apa pun saya ucap tahniah kepada Saudari Rohai kerana melayari blog ini dengan komen ringkasnya.

Saya rasa sedih kerana Saudara Suhirman atau Sbal telah mengusahakan blog ini dengan baik dan ikhlas. Maka, menjadi kerugian sekiranya blog ini sepi tanpa penghuni. Atas kesedaran ini saya telah menghubungi rakan saya Nordin Ibrahim yang kini bertugas di Sandakan. Tujuan saya menghubunginya adalah untuk mendapatkan nombor contact beberapa rakan-rakan yang telah lama tidak dihubungi. Saya juga memaklumkan kepadanya mengenai blog ini. Al-hamdulillah, hasil daripada itu, saya dapat bercakap dengan saudara Samsul Bahri Mohd. Nasir yang kini di UMS kampus Labuan dan saudara Budianto yang kini di UMS kampus KK. sekurang-kurangnya dapatlah mendengar suara dan khabar berita setelah masing-masing berpecah ketika memasuki Universiti awal 2000 dulu. Ketika saya bercakap dengan saudara Budi (yang budiman itu), dia sedang bergelut dengan selsema. Kasihan dia. Mudah-mudahan dia dapat sembuh dengan cepat. Saudara Samsul pula tengah pening dengan beberapa tugasan Masternya. Apapun, saya ucap tahniah dan syabas kerana rakan-rakan kini sudah di peringkat Master. Selain daripada mendapatkan senarai rakan-rakan, saya juga sedang mendapatkan senarai nama pelajar sabah yang menuntut di UUM. Daripada senarai nama itu, saya boleh identify pelajar-pelajar dari kinabatangan supaya mereka ini dapat dimasukkan dalam persatuan Pemangkin sekaligus mereka akan melaksanakan beberapa aktiviti apabila balik bercuti nanti.

Ingatkan rakan-rakan bahawa semasa di tingkatan enam dahulu, kita sering membaca sejarah mengenai bagaimana sastera yang disampaikan melalui akhbar-akhbarberjaya mencetuskan revolusi pemikiran rakyatnya. Malah kebangkitan nasionalisme di negara kita juga adalah kerana gagasan idea yang tersebar daripada saluran media percetakan awal. Walaupun pada masa itu, orang Melayu sukar berhimpun disebabkan penjajahan, tetapi saluran akhbar menjadi wadah penting untuk mencetuskan idea-idea nasionalis. Akhirnya kita berjaya. Saya samakan blog ini dengan kehebatan akhbar-akhbar di masa penjajahan dulu. Ini bermakna, tiada halangan bagi kita untuk bersatu mengemukakan pandangan walaupun jarak memisahkan kita semua. Jika kita mengeluarkan idea-idea dan pandangan sungguhpun bukan dalam satu korum perbincangan khas, pandangan-pandangan ini akan menyimpulkan satu rangka tindakan untuk menghasilkan apa yang diinginkan. Oleh itu, bagi saya sendiri, setiap ahli Pemangkin perlu proaktif dan memberi nafas kepada blog ini. Samalah seperti kita menghidupkan Pemangkin. Saya sendiri faham bahawa kita dibebani bermacam tugas sama ada tugas rasmi atau tugas-tugas peribadi. Tetapi marilah kita luangkan sedikit masa untuk Pemangkin. Saya juga percaya, mungkin sesetengah alasan akan mengatakan tidak ada komputer atau tiada talian internet. Itu belum menjadi masalah besar. Saya cadangkan rakan-rakan boleh hantar SMS kepada ahli yang ada komputer dan internet. Pandangan atau coretan melalui SMS akan boleh dilaporkan semula oleh penerima SMS tersebut sama ada berbentuk formal atau sekadar berita iringan kepada rakan-rakan yang ingin mengetahui cerita daripada ahli-ahli lain.

Saya dan ahli lain menunggu post terbaru dari Syuk. Kalau boleh sesuatu yang boleh dibahaskan bersama. Jumpa lagi. Askm.

Roslee Mardan.