Sunday, September 28, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H




Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga dan ahli Pemangkin...Maaf Zahir dan Batin. Semoga kedatangan Syawal yang mulia ini lebih mendekatkan kita kepada-Nya..Selamat beraya, sambutlah dengan kesederhanaan tapi dalam suasana yang gembira dan meriah di samping keluarga yang tercinta..










Jangan lupa puasa 6 Syawal.....

Wednesday, September 17, 2008

Nuzul Quran - 17 Ramadhan







Hari Nuzul Quran
adalah merupakan hari memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran) kepada Nabi Muhamad S.A.W. pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira pada malam Jumaat pertepatan pada tanggal 17 Ramadhan iaitu tahun ke 41 hari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610M.


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


Sejarah al-Quran:
Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.
Erti Nuzul al-Quran:
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Kehebatan al-Quran:
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamumerasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalahsatu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu,selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).
5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakankepada Nabi saw.
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secaramenyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dankeunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas danmendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)
8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanyaPeringatan:
Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).

Tuesday, September 16, 2008

Selamat Hari Lahir Ke-45 Malaysiaku




Hari ini dalam sejarah....

Pada tarikh keramat ini, 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura berganding bahu bersama membentuk persekutuan yang baru yang dinamakan Malaysia..

Berikut adalah antara berita pada tarikh yang bersejarah itu :

Pada hari ini dalam tahun 1963, DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah menandatangani pengisytiharan penetapan Hari Malaysia iaitu pada 16 September 1963. Penetapan tarikh ini telah diputuskan oleh kerajaan Persekutuan berdasarkan beberapa perkara:

1. Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant telah menyatakan bahawa ia menduga akan menyelesaikan tugas-tugasnya di Borneo menjelang 4 September 1963.

2. Tarikh baru 16 September ini juga telah dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan British, Singapura, Sabah dan Sarawak.

3. Kerajaan Persekutuan tidak sekali-kali bertindak melanggar kata sepakat persetujuan Manila dengan penetapan tarikh baru itu.

4. Peninjauan Bangsa-bangsa Bersatu di Borneo sekarang bukan menjadi syarat yang menentukan sama ada Malaysia akan wujud atau tidak. Kerajaan Persekutuan yakin rakyat Borneo mendukung Malaysia.

Kerajaan Indonesia dan Filipina telah diberitahu mengenai penetapan tarikh baru Hari Malaysia ini. Surat-surat pemberitahuan itu telah disampaikan melalui Duta Besar masing-masing di Kuala Lumpur. Tindakan ini telah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak melanggar Persetujuan Manila ataupun mungkir janji. Ini adalah kerana Kerajaan Malaysia sekarang hanya mengisytiharkan tarikh Hari Malaysia, sedangkan Malaysia sebenar hanya akan wujud pada tarikh yang ditetapkan, setelah rundingan-rundingan dengan Kerajaan British dan Kerajaan-kerajaan Wilayah yang berkenaan diadakan.

Kerajaan Persekutuan telahpun menyatakan pada Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia tentang tujuannya untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963 sebagaimana yang telah dipersetujui di London pada 9 Julai 1963. Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia telah mengumumkan di dalam Persetujuan Manila bahawa mereka akan menyambut baik penubuhan Malaysia itu dengan syarat sokongan rakyat di Wilayah Borneo ditentukan oleh satu badan yang bebas.

Kerajaan Persekutuan begitu yakin bahawa sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka melalui Malaysia dan percaya bahawa hasil siasatan Bangsa-bangsa Bersatu akan memberikan pendapat yang sama. Inilah faktor-faktor yang menyebabkan Hari Malaysia ditetapkan pada 16 September 1963


Berita Harian, 30 Ogos 1963, hal. 1

Sebagai rakyat di negara yang bertuah ini, kita semestinya berbangga dan bersyukur di atas apa yang kita nikmati sekarang...Semoga masa depan Malaysia tercinta ini dapat sama-sama kita perjuangkan dan berkorban untuk kelangsungan generasi mendatang...


Selamat Hari Malaysia ke 45...Selamat Hari Lahir untukmu, Tanah Leluhurku......

Tidak lupa Selamat Hari Keputeraan kepada Tuan Yang Terutama (TYT), Negeri Sabah...Hidup Sabah!!!



Monday, September 15, 2008

Selamat Berpuasa - Ramadhan 1429H





Hari ini, dah masuk hari ke-15 kita berpuasa..dah separuh perjalanan ibadat ke-3 Islam ini kita kerjakan..Apapun, lakukanlah dengan ikhlas, sabar dan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT..

Walaupun dah terlewat, saya ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli Pemangkin khasnya dan seluruh umat Islam amnya...Inilah masa untuk kita kembali kepada fitrah dan ikhlas dalam melakukan kerja agama dan mengamalkan segala ilmu yang kita ada agar dapat dimanfaatkan kepada semua...

Selamat datang Ramadhan 1429H...




Sunday, August 24, 2008

Ada Apa Dengan Kinabatangan



Megah setinggi jasamu,
Kami dididik diasuh,
Jaya SMK Kinabatangan,
Harum sepanjang zaman.

Jujur serta dedikasi,
Menyatu semua bangsa,
Cipta semangat waja, Taatkan agama
Dengan asasnya rukun negara.

Marilah bersama junjung cita-cita,
Demi bangsa dan juga negara..


Demikianlah lagu SMK Bukit Garam..Kalau liriknya silap, tolonglah tegur. Sebab dah lama tak mendendangkan bait-bait lagu tersebut. Terkenang kembali lagu kisah lama, zaman persekolahan yang cukup indah dan sangat manis untuk dikenang kembali. Saya rasa anda semua bersetuju dan menyokong kenyataan saya bahawa zaman persekolahan tidak ada tolok bandingan. Semuanya manis-manis belaka. Ada yang pahit tapi kemanisan dan keindahan terlalu banyak untuk dipentaskan..Salah seorang cikgu saya dulu pernah berkata bahawa 20 tahun zaman bekerja tidak akan sama dengan zaman 2 tahun zaman persekolahan. Saya bersetuju dan menyokong kenyataan beliau. Anda bagaimana pula???


Adakah anda perasan bahawa setiap kali kita berjumpa dengan kawan-kawan lama, cerita-cerita zaman bersekolah saja yang kita sembangkan. Macam-macam ada kan!!! Jarang sekali kita bersembang dan berbicara tentang hal pekerjaaan kita. Memang ada tapi sedikit saja. Kalau dihitung hanya 10 hingga 15% saja kadarnya..Setujukah anda dengan saya???

Berbalik kepada tajuk artikel ini, saya serahkan kepada penilaian anda semua. Masing-masing mempunyai pendapat dan pandangan yang tersendiri. Tapi kalau anda bertanya kepada saya, inilah pandangan dan pengamatan saya.....

  1. Kinabatangan adalah tempat yang cukup indah dan cantik. Bangga denganmu...


























2. Kinabatangan adalah daerah yang terbesar di Sabah dan Malaysia. Pernah menjadi pusat pengeluaran kayu balak utama di Sabah tapi yang peliknya tiada satu pun kilang kayu balak di Kinabatangan..Mengapa yea???

3. Sekarang, Kinabatangan menjadi pusat penanaman dan pengeluaran kelapa sawit yang terbesar di Sabah..Hampir 1/3 kilang kelapa sawit yang ada di Sabah, terdapat di Kinabatangan. Percaya ke anda semua???Harus diingat Sabah adalah negeri pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia..Apakah maknanya ini?Maknanya, Kinabatangan adalah pengeluar sawit terbesar di Malaysia..

Tapi apa yang ada di Kinabatangan..........

Tepuk dada, tanya apa perjuangan kita seterusnya....

Thursday, July 24, 2008

Ucapan Pengerusi Penaja


MESYUARAT AGUNG KHAS PEMANGKIN

9 Disember 2006, Sabtu

Bilik Mesyuarat Utama,

Majlis Daerah Kinabatangan.

Selamat datang ke Majlis Mesyuarat Agung Khas Persatuan Graduan Kinabatangan atau lebih dikenali sebagai PEMANGKIN bagi tahun 2006. Tujuan mesyuarat agung khas ini diadakan adalah bertujuan untuk membuat pemilihan bagi AJK tertinggi bagi sesi 2007-2009 iaitu selama 3 tahun bagi setiap penggal.

Saya sebagai Pengerusi Penaja Pemangkin, ingin menukilkan beberapa gagasan dan harapan terhadap AJK tertinggi Pemangkin yang bakal dibentuk kelak;

  1. Moga Pemangkin menjadi NGO yang dapat memberikan sumbangan dan khidmat terbaik kepada Kinabatangan. NGO yang hidup berjuang untuk menentukan yang baik dan salah, menegakkan kebenaran, tanpa ada sempadan fahaman, merentasi batasan politik dan kebebasan yang sepenuhnya untuk bergerak dengan cara dan halatuju yang ditetapkan dalam visi dan misi pemangkin itu sendiri.

  1. Pemangkin adalah amanah sebenarnya kepada kita semua. Maka peganglah amanah ini dengan sebaiknya dan kita mohon doa kepada Allah agar membantu kita dalam memimpin Pemangkin ini. Amanah adalah yang paling berat sekali di dunia dan hanya manusia dianugerahkan tugasan tersebut. Itulah antara 6 persoalan kehidupan yang diceritakan oleh tokoh terbilang dan cendiakawan, iaitu Hujjatul Islam atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali r.a.

  1. Program atau aktiviti perlu dibuat dan konsisten serta istiqamah yakni berterusan. Bukan sekejap ada, sekejap tak ada. Ini kerana bayank pertubuhan atau persatuan di Kinabatangan ini yang saya sifatkan sebagai mati atau tunggu masa sahaja untuk mati. Jadi saya tidak ingin melihat Pemangkin jadi seperti itu. Mati tanpa batu nisan!!! Kita perlu mewujudkan aktiviti dan pengisian yang luar biasa yang boleh merubah sejarah membeku di Kinabatangan ini, pada pendapat saya. Jadi kita memerlukan jentera barisan graduan yang berkualiti untuk merubah sejarah membeku ini, kerana hanya graduan atau belia-beliawanis yang mempunyai kesungguhan untuk berjuang sahaja dapat dapat merealisaikan impian murni ini. Saya teringat kata-kata Professor Dr. Hamka, iaitu “Kepemudaan itu gila, dan hanya mereka yang dapat untuk merubah sejarah yang membeku. Sejarah akan membeku dan hanya dapat dipecahkan oleh gerakan kepemudaan melalui revolusi. Setelah itu, barulah proses pemikiran akal akan mengambilalih revolusi tersebut.”

  1. Pemimpin yang bakal dipilih nanti mestilah tidak ada kepentingan peribadi. Mereka hendaklah berjuang dengan ikhlas dengan khidmat yang terbaik untuk mendapat semua pihak di Kinabatangan tercinta ini. Mereka juga sanggup berkorban untuk kemajuan dan kelangsungan Pemangkin seterusnya.

  1. Dan inilah harapan kepada pemimpin-pemimpin Kinabatangan. Saya membawa isu atau persoalan di mana ramai lagi para graduan di Kinabatangan ini yang masih tidak bekerja dan menganggur walaupun mereka memiliki pencapaian akademik yang cemerlang. Mereka punya pengalaman yang banyak dan berguna semasa menuntut di Universiti-Universiti dan Kolej-kolej Swasta. Jadi rugi rasanya jikalau semua apa yang ada pada mereka ini kita tidak gunakan atau eksplotasi dan manfaatkan kepada semua. Jadi, berilah mereka ruang dan peluang untuk mereka membuktikan bahawa graduan-graduan yang dilahirkan oleh Kinabatangan adalah yang terbaik di antara yang terbaik. Saya mengetahui ramai graduan yang mendapat peluang bekerja di tempat lain seperti di luar Kinabatangan dan Semenanjung Malaysia, tetapi mereka menolak kerana masih ingin mencari peluang dan ruang untuk berbakti di Kinabatangan. Mereka berkata, “ Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.” Saya memuji kesabaran dan kesungguhan mereka, juga perjuangan mereka untuk sama-sama membangunkan daerah kita yang tercinta ini…

Seterusnya, saya ingin berkongsi cerita dengan anda semua tentang halangan dan rintangan semasa menubuhkan Pemangkin. Terlalu banyak sebenarnya untuk diceritakan di sini. Dari saat pengumpulan ahli, pembentukan AJK penaja, penolakan pendaftaran sehinggalah penubuhannya dan seterusnya hingga ke saat ini. Masalah kewangan merupakan ibu masalah kepada halangan dan rintangan. Saya ingin memohon jasa baik kepada pemimpin-peminpin Kinabatangan yang hadir pada hari ini, untuk memberikan respons dan tindakan juga bantuan kepada Pemangkin di masa depan.

Tetapi Alhamdulillah, berkat usaha, kerajinan, konsisten dalam komitmen dan istiqamahnya AJK penaja Pemangkin, lahirlah Pemangkin yang saya sifatkan sebagai kelahiran pejuang baru di Kinabatangan ini. Juga boleh digelar sebagai mujahid ataupun pembaharuan kepada Kinabatangan.

Teringat saya kepada satu konsep sosial Islam,” Tidak dianggap bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK penaja Pemangkin , yang setia berjuang bersama-sama dengan saya. Terima kasih atas segalanya. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada anda semua jikalau ada terkasar bahasa, terlajak kata dan buruk budi bicara sepanjang anda berada di bawah pimpinan saya dan saya yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa-apa juga yang berlaku sepanjang kita bersama-sama menubuhkan Pemangkin ini.

Dan terima kasih kepada semua yang menyokong dan memberikan idea, sumbangan dan kepakaran kepada Pemangkin. Hanya Allah S.W.T yang dapat membalas jasa baik kalian.

Akhir kata, saya ingin memohon maaf jikalau ada kekurangan atau kecacatan pada majlis yang serba sederhana ini.

Biar merangkak asal dapat,

Jangan berlari tapi putus di tengah jalan.


Penuh cabaran, penuh halangan dan beban perjuangan,

Subur berakar di dasar hati, segar mekar di denyut nadi.


Wahai Pemangkin, tegakkan perjuanganmu,

Tataplah hari esok dan selamanya dengan ceria,

Ingatlah di sebalik kesukaran itu, pasti akan datang kemudahan.


Setiap yang bermula, pasti akan berakhir,

Tidak penting di mana kita bermula, yang penting di mana kita berakhir.


Selamat berjuang Pemangkin......


WASSALAM



SUHIRMAN@MOHD.SUKRI

Pengerusi Penaja,

Pemangkin Sesi 2004-2006.

Terus Berjuang.....


Coretan ini masih lagi di bawah topik "Selamat Berjuang Mahasiswa/i Kinabatangan..." Walaubagaimanapun, saya tidak akan menyentuh secara khusus mengenai Mahasiswa/i kerana saya telah memberi komen sebelum ini. saya tertunggu-tunggu daripada Syuk/Sbal jika ada post yang terbaru. Saya faham, Syuk/Sbal mungkin sibuk dengan tugas hariannya. Oleh itu, saya menumpang blog Pemangkin ini untuk menulis apa yang perlu untuk ditulis. Kalau tak ada yang penting pun, saja seronok-seronok. Seeloknya saya perlu menulis dalam blog sendiri. Tetapi jika saya mencipta blog sendiri dengan harapan ahli lain membacanya atau melayarinya, maka ahli-ahli Pemangkin tentu akan terpecah dan ini adalah sesuatu yang tidak baik terhadap usaha kita menghimpunkan ahli-ahli. Apatah lagi sekiranya ahli-ahli lain juga akan mencipta blog masing-masing bagi menyampaikan pandangan mengenai Pemangkin. Kita akan bercempera. Orang Sabah kata 'bertabur'. Dengan adanya blog Pemangkin ini, cukuplah ia menjadi platform yang tunggal dan jangan ada lagi blog Pemangkin yang lain. Kepada semua rakan-rakan marilah kita berpayung di bawah satu landasan untuk menyampaikn wadah pemikiran kita iaitu melalui blog Pemangkin ini.

Setelah lebih kurang 3 bulan iaitu semenjak saya mengetahui blog ini, nampaknya setakat ini, hanya saya sahaja yang menghantar komen atau post comment. Ini menandakan ramai ahli Pemangkin atau bekas pelajar Kinabatangan yang belum tahu mengenai kehadiran blog ini. Apa pun saya ucap tahniah kepada Saudari Rohai kerana melayari blog ini dengan komen ringkasnya.

Saya rasa sedih kerana Saudara Suhirman atau Sbal telah mengusahakan blog ini dengan baik dan ikhlas. Maka, menjadi kerugian sekiranya blog ini sepi tanpa penghuni. Atas kesedaran ini saya telah menghubungi rakan saya Nordin Ibrahim yang kini bertugas di Sandakan. Tujuan saya menghubunginya adalah untuk mendapatkan nombor contact beberapa rakan-rakan yang telah lama tidak dihubungi. Saya juga memaklumkan kepadanya mengenai blog ini. Al-hamdulillah, hasil daripada itu, saya dapat bercakap dengan saudara Samsul Bahri Mohd. Nasir yang kini di UMS kampus Labuan dan saudara Budianto yang kini di UMS kampus KK. sekurang-kurangnya dapatlah mendengar suara dan khabar berita setelah masing-masing berpecah ketika memasuki Universiti awal 2000 dulu. Ketika saya bercakap dengan saudara Budi (yang budiman itu), dia sedang bergelut dengan selsema. Kasihan dia. Mudah-mudahan dia dapat sembuh dengan cepat. Saudara Samsul pula tengah pening dengan beberapa tugasan Masternya. Apapun, saya ucap tahniah dan syabas kerana rakan-rakan kini sudah di peringkat Master. Selain daripada mendapatkan senarai rakan-rakan, saya juga sedang mendapatkan senarai nama pelajar sabah yang menuntut di UUM. Daripada senarai nama itu, saya boleh identify pelajar-pelajar dari kinabatangan supaya mereka ini dapat dimasukkan dalam persatuan Pemangkin sekaligus mereka akan melaksanakan beberapa aktiviti apabila balik bercuti nanti.

Ingatkan rakan-rakan bahawa semasa di tingkatan enam dahulu, kita sering membaca sejarah mengenai bagaimana sastera yang disampaikan melalui akhbar-akhbar berjaya mencetuskan revolusi pemikiran rakyatnya. Malah kebangkitan nasionalisme di negara kita juga adalah kerana gagasan idea yang tersebar daripada saluran media percetakan awal. Walaupun pada masa itu, orang Melayu sukar berhimpun disebabkan penjajahan, tetapi saluran akhbar menjadi wadah penting untuk mencetuskan idea-idea nasionalis. Akhirnya kita berjaya. Saya samakan blog ini dengan kehebatan akhbar-akhbar di masa penjajahan dulu. Ini bermakna, tiada halangan bagi kita untuk bersatu mengemukakan pandangan walaupun jarak memisahkan kita semua. Jika kita mengeluarkan idea-idea dan pandangan sungguhpun bukan dalam satu korum perbincangan khas, pandangan-pandangan ini akan menyimpulkan satu rangka tindakan untuk menghasilkan apa yang diinginkan. Oleh itu, bagi saya sendiri, setiap ahli Pemangkin perlu proaktif dan memberi nafas kepada blog ini. Samalah seperti kita menghidupkan Pemangkin. Saya sendiri faham bahawa kita dibebani bermacam tugas sama ada tugas rasmi atau tugas-tugas peribadi. Tetapi marilah kita luangkan sedikit masa untuk Pemangkin. Saya juga percaya, mungkin sesetengah alasan akan mengatakan tidak ada komputer atau tiada talian internet. Itu belum menjadi masalah besar. Saya cadangkan rakan-rakan boleh hantar SMS kepada ahli yang ada komputer dan internet. Pandangan atau coretan melalui SMS akan boleh dilaporkan semula oleh penerima SMS tersebut sama ada berbentuk formal atau sekadar berita iringan kepada rakan-rakan yang ingin mengetahui cerita daripada ahli-ahli lain.

Saya dan ahli lain menunggu post terbaru dari Syuk. Kalau boleh sesuatu yang boleh dibahaskan bersama. Jumpa lagi. Askm.


Roslee Mardan

Pegawai Eksekutif
Pusat Penyelidikan NCER
Universiti Utara Malaysia.

July 17, 2008 4:38 PM